BMW E36 merupakan model sedan sederhana dari Jerman yang tidak perlu diperkenalkan lagi kepada dunia automotif. Reputasinya sebagai model yang membawa kejayaan besar terhadap BMW dalam segmen sedan sederhana pasaran dunia sememangnya diakui ramai pihak. Platform E36 adalah sebenarnya asas kepada model 1991 hingga 1999 BMW 3 Series yang merupakan kereta kategori eksekutif mewah sederhana. Model ini adalah merupakan keluaran selepas model E30 dan ianya terus membawa kepada kejayaan kepada BMW sehingga ke saat pengeluaran terakhirnya apabila model ini mula digantikan dengan yang lebih baru iaitu platform E46 pada tahun 1999.
E36 merupakan model yang begitu berjaya dalam kategori pasarannya. Ianya telah menetapkan satu standard yang kukuh untuk penapakan model E46 yang lebih baru darinya serta tahun-tahun berikutnya. Dari sudut pemerhati, BMW 3 Series E36 ini merupakan penanda aras prestasi bagi sedan yang sekelas dengannya dan pada hari ini masih ramai peminat model ini yang masih mengkaguminya serta tidak kurang yang berusaha menjadikannya lebih dari sekadar sebuah lagi BMW E36 biasa.
E36 hijau kali ini ternyata bukanlah sekadar satu lagi BMW E36 biasa. Model asal BMW paparan kali ini adalah merupakan 325i yang pada asalnya berasaskan enjin M50B25. Enjin siri M50 adalah merupakan barisan keluaran enjin 6 silinder generasi baru dari BMW. Ianya mula diperkenalkan pada awal 1989 untuk menggantikan enjin siri M20 dan kemudiannya model enjin siri M50 ini digantikan dnegan siri lebih baru iaitu M52 pada tahun 1994. Enjin-enjin M50 bermula dari sesaran 2.0L hingga ke 3.0L. Ianya merupakan enjin DOHC 24 injap. Siri M50TU iaitu model terakhir yang diperkenalkan pada 1992 mempunyai sistem pelarasan pemasa injap VANOS.
Siri enjin M50 ini berkait rapat dengan rekaan asal M20 kerana mempunyai unjuran serta jarak antara silinder yang sama iaitu 91mm dan juga ukuran bore dan stroke yang sama antara 2.0L dan 2.5L.
Enjin asal pada BMW Amir ini adalah merupakan model M50B25 iaitu sesaran pada 2494cc atau 152 c.i. Berkemampuan menghasilkan sehingga 189hp (141kW) pada 4200RPM dengan tork 245Nm dengan tahap RPM maksimum atau redline pada 6500.
Sungguhpun dengan angka kuasa yang begitu besar memandangkan ianya adalah sebuah enjin NA tanpa sebarang unit pendesak, namun akhirnya yang bersemadi di dalam ruang enjin ini adalah merupakan enjin siri RB25DET dari Nissan.
Enjin RB25DET yang kini berkemampuan 245hp dan dengan kadar tork yang lebih besar pada 319Nm kini lebih memberikan kepuasan terhadap pemilik beemer hijau ini. Segala komponen dalaman dibiarkan pada keadaan asal tanpa sebarang pengubahsuaian yang mengubah struktur asalnya. Tahap boost maksima hanya dinaikkan pada 0.9bar bagi menjamin ketahanan serta tahap penjimatan bahanapi enjin ini.Unit turbin asal juga dikekalkan dengan hanya menukar unit injap blow-off dari HKS SSQV. Penukaran unit penyejuk pelincir atau oil cooler dari Apexi diharapkan memberikan jaminan ketahanan serta perlindungan terhadap komponen dalaman yang menggunakan pelincir.
Unit radiator asal telah ditukarkan dengan yang lebih kecil tetapi tetap berkesan dari Denso yang asalnya untuk model Proton Wira 1.6. Untuk kuasa nyalaan yang optimum, palam pencucuh dari NGK memikul tugas memberi nyalaan terhadap pengendalian enjin dari ECU standard RB25DET ini.
Pam bahan api dari E36 standard dikekalkan dan ianya tidak mendatangkan masalah dalam pembekalan terhadap keperluan bahan api enjin RB25DET ini. Sistem ekzos yang kini dibuat semula dengan saiz keseluruhan 2.5 inci kini lebih sesuai dengan keperluan laluan gas yang sekata terhadap enjin ini. Transmisi automatik asal pada RB25DET ini digunakan sepenuhnya dengan tiada sebarang pengubahsuaian.
Kini set suspensi dari Koni bertugas merendah dan memberi keselesaan kepada kereta ini di samping ciri utama iaitu pengendalian yang hebat. Rim AC Schnitzer ACS1 bersaiz 18 inci bersama tayar Yokohama R1 yang bersaiz 225/40/R18 untuk hadapan dan 235/40/R18 untuk belakang memenuhi ruang roda E36 ini.
Kesemua sistem brek asal E36 dikekalkan memandangkan kesemuanya masih berkeadaan terbaik dan mampu menampung keperluan membrek BMW ini.
Ruang dalaman menyaksikan set meter dari Apexi kesemuanya dan berakhir dengan unit RSM juga dari Apexi. Tempat duduk E36 asal masih dikekalkan untuk tidak menjejaskan keselesaan dalaman asal BMW serta nilai estetiknya.
Sistem hiburan dari ALPINE CDE9846 sebagai pemain utama, unit pre amp dan cross over American Sound dan juga subwoofer dari Mohawk menjadi pilihan pemilik. Gaya luaran pula masih BMW E36 sepenuhnya dengan penambahan skirting serta lips hadapan yang dibuat secara khas dengan skim warna Green Lights.
No comments:
Post a Comment